
Seawal jam 8.00 pagi, para pelajar dan guru pengiring menaiki bas yang disewa khas. Perjalanan mengambil masa 6 jam untuk tiba di Kuala Lumpur.



Menjelang petang kami dibawa menginap di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Tepat jam 8.00 malam, ahli rombongan berkumpul semula untuk lawatan yang seterusnya iaitu I-City, Shah Alam. Perjalanan dari tempat penginapan ke I-City mengambil masa sejam. Setibanya disana, kami diberi masa 2 jam untuk menikmati dan menghayati keindahan kerlipan cahaya-cahaya lampu yang direka unik dalam pelbagai bentuk disitu. Para pelajar dan guru pengiring tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan sepanjang berada di situ.
Pada keesokan paginya, Sabtu 25 Februari 2011, selepas bersarapan rombongan bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Menara Berkembar Petronas dengan satu tujuan iaitu untuk melawat Jejantas Udara (SkyBridge). Kami diberi taklimat ringkas oleh petugas dan dipertontonkan dengan visual dalam bentuk 3D mengenai Menara Berkembar Petronas. Seterusnya kami dibawa menaiki lif ke tingkat 41 dengan ketinggian 170m dari aras bumi pada kelajuan 1 tingkat/saat.
Kami diberi masa 15 minit untuk berada di atas jejantas tersebut. Menurut jurupandu yang ditugaskan, fungsi jejantas adalah untuk memudahkan pergerakan di antara kedua-dua menara dan juga sebagai laluan keselamatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Kemudian, kami dibawa ke Planetarium Negara. Kami dipertontonkan dengan satu video mengenai angkasa lepas yang bertajuk Dawn of The Space Age di Teater Angkasa. Kami turut berpeluang mencuba pelbagai jenis permainan dan juga eksperimen yang disediakan di sana.



Setelah hampir dua jam di sini, ahli rombongan kemudiannya dibawa ke Pusat Sains Negara. Ternyata ruang untuk diterokai di sini lebih luas dengan aktiviti dan pameran yang pelbagai. Antara yang menjadi tumpuan pada hari tersebut adalah Pameran Dinasour Terbesar "Dinos Live".
Tepat jam 6.30 petang, rombongan bertolak pulang dari Pusat Sains Negara, Bukit Kiara dan selamat tiba di sekolah pada jam 12.32 malam.
No comments:
Post a Comment